Fasa kelahiran merupakan saat yang paling penting bagi seorang wanita. Membicarakan soal bersalin dari sudut pernafasan yang betul semasa meneran adalah antara faktor yang membantu proses bersalin. Teknik pernafasan yang lancar juga dapat membekalkan anda tenaga yang cukup bagi mengelakkan keletihan awal semasa proses meneran yang boleh mengundang kepada risiko kekejangan dan ketegangan otot.

Cara pernafasan yang betul semasa bersalin turut membantu membekalkan oksigen yang mencukupi untuk anda dan bayi. Teknik pernafasan ini juga dikenali sebagai teknik pernafasan santai merupakan salah satu senaman pranatal yang disarankan. Bagi masyarakat barat, mereka amat menggemari cara pernafasan Lamaze. Bernafas sambil menyebut perkataan 'hee-hee-hoo' dapat memusatkan tumpuan kepada pernafasan dan mengabaikan kesakitan. Teknik santai ini telah banyak membantu wanita untuk bersalin dengan selamat dan lancar tanpa mengambil risiko menggunakan alat bantuan lain seperti forceps, ventous (vacumm) dan pembedahan (caesarean) untuk mengeluarkan bayi anda.

Kegagalan mengamalkan teknik pernafasan yang betul semasa bersalin bukan sahaja mengundang risiko kekurangan oksigen kepada anda, bahkan juga boleh memudaratkan bayi. Komplikasi dari kegagalan menggunakan teknik pernafasan ini antaranya boleh menyebabkan keupayaan otot rahim tidak berfungsi dengan sepatutnya.

Pernafasan yang tidak lancar semasa bersalin juga dikenali sebagai pernafasan panik. Ia berlaku apabila anda berasa cemas dan ketakutan di ambang persalinan. Pernafasan menjadi deras dan tercungap-cungap, otot menjadi tegang dan kejang, nafas menjadi pendek seolah anda menghadapi kejutan.

Penghasilan hormon oxytocin menjadi berkurangan dalam keadaan otot rahim tidak berfungsi dengan baik. Peranan hormon oxytocin sangat penting dan bertangungjawab dalam merangsang kontraksi pada rahim menjelang proses persalinan. Apabila anda menghadapi kesukaran dan kegagalan dalam menggunakan teknik pernafasan yang betul semasa hamil, ianya akan mengganggu proses persalinan. Sementara degupan jantung bayi pula akan terjejas ekoran kekurangan oksigen sebagaimana yang dapat dilihat pada alat bacaan cardiotocography (CTG) yang tidak normal.

Pernafasan panik adalah perkara normal di saat bersalin, biasanya ia dapat diatasi dengan cara pengawal pernafasan yang betul. Jika masih barlaku pernafasan panik di peringkat awal, anda akan dinasihatkan untuk ubah kedudukan badan ke arah mengiring seketika sehinggalah alat bacaan cardiotocography (CTG) kembali normal dan anda diminta untuk menukar keadaan kedudukan badan seperti asal.

Anda tidak dibenarkan bernafas secara panik untuk tempoh yang lama, selain diminta untuk mengubah kedudukan, anda juga akan diberi alat bantuan pernafasan (Oxygen Delivery Systems) untuk suatu tempoh yang diperuntukkan sehinggalah anda berasa ingin meneran.

Saat meneran ini lah anda memerlukan tenaga dan oksigen yang mencukupi untuk melancarkan proses persalinan anda. Dalam konsep persalinan, matlamanya adalah menyimpan tenaga anda sebanyak mungkin untuk memberikan anda dan bayi oksigen dalam memastikan proses persalinan anda lancar dan selamat.
Cara pernafasan yang betul semasa bersalin boleh digunakan ketika anda mula merasai kontraksi dan keadaan pernafasan yang tidak selesa. 

Berikut kaedah pernafasan yang betul semasa bersalin:

1. Peringkat awal (early labour)

Menggunakan pernafasan secara perlahan dengan menyedut oksigen melalui hidung sebanyak tiga kali. Kemudian oksigen yang disedut tadi dihembus melalui mulut sebanyak tiga hingga empat kali. Disarankan menghembus dengan lebih lama berbanding menarik nafas.

2. Peringkat aktif (active labour)

Bilamana kesakitan dirasakan bertambah kuat, hela nafas terlebih dahulu. Disusuli dengan tindakan menarik dan menghembus nafas. Bernafas secara cepat dan tidak dalam apabila kesakitan semakin kuat. Pada kemuncak kontraksi, pernafasan secara tercungap-cungap melalui mulut (panting) boleh membantu. Setelah kontraksi beransur hilang, bernafaslah seperti biasa secara perlahan-lahan.

3. Peringkat peralihan (saat bersalin hampir tiba tetapi pangkal rahim masih belum terbuka sepenuhnya)

Anda tidak digalakkan meneran kerana ini boleh memudaratkan. Lakukan pernafasan panting namun jangan teran pada punggung. Sebaik pada panting-panting (hembus).


Cara meneran yang betul


  1. Anda perlu berimaginasi seolah anda mahu membuang air besar.

  2. Anda perlu memastikan dagu anda dapat dirapatkan ke paras dada, seolah dalam keadaan ini badan anda membengkok seperti udang. 

  3. Belakang badan anda pula perlu menyentuh katil. 

  4. Sasaran tuampuan anda ke arah perut dan anda diarahkan meneran bermula dari bahagian abdomen hingga ke bawah (punggung). 

  5. Elakkan meneran di bahagian muka.

Setelah berlaku kontraksi, anda perlu menarik nafas dan meneran selama yang mampu. Elakkan mengangkat punggung kerana boleh mengakibatkan koyak yang besar.

Kebiasaannya dalam satu kontraksi anda disarankan mengambil nafas sebanyak dua hingga tiga kali. Ketika mana proses kelahiran bayi di peringkat akhir iaitu kelihatan sebahagian kepalanya, maka anda jangan meneran terlalu kuat, dikhuatiri berlaku koyakan yang lebih serius. Oleh itu teranlah secara perlahan ketika peringkat akhir kelahiran tersebut.

Menyedari pentingnya teknik pernafasan yang betul semasa bersalin, anda dan suami perlu mengetahuinya dengan cara mempelajari teknik pernafasan yang betul melalui kelas antenatal yang dianjurkan, lebih-lebih lagi bagi anda yang melalui kehamilan pertama. Penyertaan suami (digalakkan) untuk mengetahui teknik pernafasan yang betul semasa bersalin. Ia sangat penting kerana hanya suami anda sahaja yang akan sentiasa menemani anda dan suami akan membantu sebagai tanda sokongan moral bila anda menghadapi kesukaran dan kontraksi samada di rumah mahupun di hospital.

0 comments:

Catat Ulasan

Saya Nurul Huda Zakaria, Shaklee Independent Distributor (883327) kawasan Kota Bharu, Kubang Kerian dan Pengkalan Chepa. Produk Shaklee diyakini mampu memberi mutu kesihatan yang lebih baik seisi keluarga. Ianya sihat, selamat dan berkesan. Ingin berkongsi tips kejayaan perniagaan dan produk Shaklee hubungi/ whatsapp 014-507 5708. Terima kasih!

 
Inspirasi Huda (Sihat Bersama Vitamin)
Top