Ada banyak alasan kenapa si kecil suka menghisap jari atau menggigit
kuku. Kebanyakan mereka sekadar ingin tahu apa rasanya, mengatasi rasa
bosan, stres atau menutupi rasa takut. Kebiasaan seperti ini disebut
sebagai
nervous habit iaitu kebiasaan yang disebabkan oleh perasaan takut atau gelisah.
Selain kebiasaan menggigit kuku, ada juga kebiasaan yang lain misalnya
menghisap jari, memainkan rambut dan merapatkan gigi. Jika tidak
ditangani segera, kebiasaan ini terbawa sampai dewasa.
Apabila si kecil melakukan kebiasaan ini secara tidak berlebihan dan
tidak melukai dirinya, juga secara tidak sedar (misalnya sedang melihat
TV), maka anda tidak perlu cemas. Itu hanyalah cara kanak-kanak
mengatasi stres ringan. Kemungkinan besar kebiasaan ini akan berhenti
dengan sendirinya. Namun apabila kebiasaan menggigit kuku tetap berlaku
dan sukar untuk dielakkan, anda perlu melakukan cara-cara seperti
berikut untuk menghilangkan kebiasaan tersebut :-
1 Cari penyebabnya
Perkara pertama yang harus anda lakukan
ialah bertanyakan pada si kecil mengapa dia gelisah. Selalunya kita
hanya melarang anak-anak daripada melakukan tabiat buruknya tanpa
mengetahui punca sebenar perbuatan tersebut. Seharusnya ibu bapa perlu
mengkaji penyebabnya dan berfikir sama ada si kecil mengalami stres
ataupun tidak. Anda perlu bersabar untuk menghadapi situasi ini kerana
tidak semestinya anak anda akan mendengar larangan anda. Apa yang
penting ialah kesabaran dalam mengatasi masalah ini. Cuba atasi dengan
cara positif dan bersabar.
2 Jangan marah
Perbuatan menggigit kuku sering dilakukan tanpa sedar. Justeru, elakkan
daripada bertindak memarahi atau memaksanya menghentikan kebiasaannya
itu. Sebaiknya beritahu si anak secara perlahan-lahan kerana mereka
lebih suka dipujuk daripada dimarahi.
3 Tentukan batasan
Ingatkan pada anak anda bahawa perbuatan menggigit kuku adalah perbuatan
tidak sopan dan tidak boleh dilakukan di depan orang lain. Katakan juga
pada anak anda bahawa perbuatannya itu akan mengganggu orang lain.
Bicara dengan lembut dan berhemah mengenai tabiatnya itu. Tidak perlu
menekan atau memaksanya menghentikan tabiat tersebut secara drastik
kerana ia akan membuat si kecil bertambah stres. Semakin kurang anda
memaksanya, semakin mudah untuk anak anda menghentikan kebiasaannya itu.
4 Diskusi bersama
Ajak anak anda untuk membicarakan mengenai tabiat buruknya, kesan
terhadap perbuatannya dan cara penyelesaiaannya. Misalnya anak anda mahu
anda ingatkannnya jika lupa, anda ankan mengingatkan bile merasa
terganggu.
5 Beri bantuan
Buat persetujuan bagaimana cara anda mengingatkan, terutama bila di
depan umum. Misalnya dengan bahasa isyarat agar tidak disedari orang di
sekeliling. Menegur secara terbuka mungkin akan menyebabkan dia berasa
malu dan rendah diri. Biarpun ada kala ejekan rakan-rakan juga dapat
membantu anak anda menghentikan tabiat buruknya itu dengan lebih cepat.
6 Tawarkan alternatif
Bila anak anda ada keinginan untuk menggigit kuku, cepat-cepat alihkan
dengan benda-benda yang lain. Biarkana anak anda leka sehingga dia lupa
untuk melakukan tabiatnya itu. Selain itu, suruh anak anda tarik nafas
dalam-dalam dan gunakan teknik teknik relaks yang lain supaya berasa
lebih lega.
7 Elak kecederaan
Menggigit kuku dianggap sebagai tanda kegelisahan yang berlebihan.
Tabiat ini boleh mendatangkan kemudaratan ke atas diri si kecil sehingga
menyebabkan kuku dan jari terluka dan berdarah. Anda perlu berjumpa
dengan doktor atau mendapatkan bantuan psikologi sekiranya tabiat anak
anda itu tidak dapat diatasi.
Sumber dari majalah keluarga harmoni